My Pages

Tuesday 13 October 2015

CARA UNTUK BAWA KERETA MASUK KE PULAU LANGKAWI

Bawa kenderaan / kereta masuk ke Pulau Langkawi
(kenderaan semenanjung) 


Jan 2015 & Oct 2015

PERKHIDMATAN FERI KE PULAU LANGKAWI - KUALA PERLIS

Lawatan kali ini, kami pandu kereta sendiri ke Langkawi serta 2 orang lagi kawan saya. Sebelum itu, saya kongsikan dengan anda serba sedikit apa yang diperlukan sekiranya anda ingin membawa masuk kereta ke Langkawi (untuk kereta pendaftaran semenanjung sahaja).



1) Untuk bawa masuk kenderaan ke Langkawi mesti melalui Jeti Kuala Perlis. Terdapat 2 buah syarikat yang mengendalikan perkhidmatan ini di situ iaitu Langkawi Feri My Roro dan Langkawi Auto Express Sdn Bhd. Harga bagi kedua-dua buah syarikat lebih kurang sama sahaja tetapi bezanya pada jadual feri tersebut. 

Berikut adalah rujukan waktu semasa perjalanan saya & anda boleh semak harga dan jadual feri terkini di link berikut:

Langkawi Feri My Roro <--- click di sini
01.00 pm    Jeti Kuala Perlis - Dermaga Tanjung Lembong
10.00 am    DermagaTanjung Lembong - Jeti Kuala Perlis

Langkawi Auto Express Sdn Bhd <--- click di sini
11.00 am    Jeti Kuala Perlis - Dermaga Tanjung Lembong
04.30 pm    Dermaga Tanjung Lembong - Jeti Kuala Perlis


2) Tempahan perlu dibuat melalui online bagi mengelakkan tempat penuh. Dokumen yang diperlukan semasa membuat tempahan ialah:
*Salinan geran kereta
*Salinan IC pemandu/pemilik kereta
*Bilangan penumpang (termasuk pemandu)


3) Pastikan anda tiba di Jeti Kuala Perlis 1-2 jam lebih awal sebelum waktu berlepas. Bila sampai di jeti tersebut, terus ke pejabat syarikat yang anda pilih untuk tindakan yang selanjutnya. 


4) Makan siap siap sebelum menaiki feri atau bawa makanan untuk dimakan di dalam feri semasa perjalanan kerana perjalanan memakan masa lebih kurang 1 jam lebih ke 2 jam. Saya pasti di dalam feri, disediakan ruang tempat duduk yang selesa serta televisyen untuk tontonan ramai. 


5) Anda perlu menginap di Langkawi sekurang-kurangnya 48 jam atau lebih bagi mengelakkan barangan yang di bawa keluar dari Pulau Langkawi tidak dikenakan cukai oleh pihak kastam.

*Mengikut pengalaman kami setelah menggunakan perkhidmatan kedua-dua syarikat ini. Sebenarnya, kami dimaklumkan sebelum ini bahawa syarikat Auto Express merupakan syarikat baru, maka feri yang digunakan juga baru. Tetapi, hasil pengalaman kami, walaupun feri syarikat My Roro nampak lama tetapi servis syarikat ini amat memuaskan kami & begitu juga sistem tempahan online syarikat ini juga sangat mesra pelanggan. Terdapat insiden yang tidak mesra pelanggan berlaku kepada kami semasa menggunakan perkhidmatan syarikat Auto Express & tidak perlu lah saya bercerita di sini, kami berharap supaya pekerja-pekerja syarikat baru ini janganlah sombong dan beranggapan bahawa penumpang hanya lah menumpang di feri anda untuk hari tersebut sahaja. Ada sebahagian pekerja yang sangat mesra pelanggan dan kami berterima kasih di atas segala bantuan anda. Malangnya bagi pekerja yang tidak tahu menghormati penumpang, beringatlah selalu. 


Gambar semasa di atas feri My Roro..

















Gambar semasa di atas feri Auto Express..









Sekiranya anda ingin ke Pulau Langkawi melalui Jeti Kuala Kedah, anda boleh rujuk jadual serta kadar tambang feri nya di sini: 
Langkawi Roro
Langkawi Auto Express


Selamat mikmatilah perjalanan anda di dalam feri ;)


Akan datang:

Link untuk TEMPAT MAKAN SEDAP DAN MURAH DI LANGKAWI

Link untuk TEMPAT-TEMPAT MENARIK DI LANGKAWI





Monday 14 September 2015

PULAU PANGKOR

PULAU PANGKOR
13 - 15 Ogos 2015


Setelah hampir 3 jam perjalanan dari Kuala Lumpur, akhirnya sampai juga dengan selamat di Jeti Lumut. Syukur...Alhamdulillah..


Bagi sesiapa yang memandu untuk ke Pulau Pangkor ini, anda boleh tinggalkan kereta anda di beberapa kawasan parking yang telah disediakan seperti berikut:

1) Tempat letak kereta bertingkat (berbumbung) – 60sen/jam



2) Tempat letak kereta luar (tepi jalan) – Rm3/4 sehari (gores kad parking Majlis Perbandaran Manjung) kalau tak silap



3) Padang SK Methodist  (ACS) Lumut (tidak berbumbung) – Rm10/malam (rujuk pengawal sekolah & bayaran boleh di buat di Pejabat sekolah)

Gambar lupa nak ambil hehehe...


Perjalanan Feri adalah setiap setengah jam bermula jam 7.00 pagi dari Jeti Lumut & 6.30 pagi dari Jeti Pangkor. Feri yang terakhir adalah pada jam 9.00 malam dari Jeti Lumut & 8.30 malam dari Jeti Pangkor. 



Terdapat 3 agensi yang menguruskan perkhidmatan Feri ini tetapi tambang tetap sama walau di beli daripada mana-mana agensi sekalipun kerana hanya 1 Feri sahaja yang akan bergerak pada setiap setengah jam.

Tambang Feri pergi balik (2 hala):
Dewasa – RM10.00
Kanak-kanak – RM6.00

Untuk maklumat lanjut mengenai kemudahan pengangkutan di Jeti Lumut, boleh layari laman sesawang di www.mpm.gov.my/pengangkutan.


JETI LUMUT

Sebelum menaiki Feri, kami pergi mengisi perut dahulu di kedai makan berdekatan tempat letak kereta bertingkat. Terdapat juga tempat makan berhampiran dengan laluan untuk ke kaunter tiket Feri.

Kami makan tengahari di sebuah kedai makan untuk 2 orang dewasa & anak saya 4 tahun sudah cecah dalam RM21. 


Pada saya ianya sedikit mahal berbanding dengan tempat lain, mungkin kerana ianya kawasan jeti, tempat pelancong sering kunjung untuk ke Pulau Pangkor. Kalau nak murah, singgahlah makan di gerai makan sebelum sampai ke Jeti Lumut ini. 


JETI PANGKOR

Terdapat 2 jeti hentian di Pulau Pangkor iaitu (1) Jeti Sungai Pinang Kecil & (2) Jeti Pangkor. Memandangkan kami menginap di Teluk Nipah, maka kami perlu turun di Jeti Pangkor. Pastikan kawasan penginapan anda supaya memudahkan anda untuk ketahui jeti mana yang paling dekat dengan tempat penginapan anda. 

Ini semasa di Jeti Lumut sebelum bergerak ke Pulau Pangkor. Kami menaiki feri berwarna kuning itu..





Setelah setengah jam lebih duduk di dalam feri, maka sampailah kami di Jeti Pangkor. 



Di sini, teksi adalah berbentuk van berwarna merah jambu (pink), comel kan. Harga adalah mengikut kawasan untuk sebuah teksi (van). Anggaran tambang untuk ke Teluk Nipah ialah Rm15-20, ikut pada budi bicara anda dengan pihak teksi. Teksi (van) ini juga boleh disewa untuk kegunaan anda bersiar-siar sekitar Pulau Pangkor dengan harga tambang RM80 untuk sebuah teksi selama 2 jam. Pemandu teksi akan membawa ke tempat-tempat pelancongan yang terdapat di Pulau Pangkor ini. 


Tetapi saranan saya pada yang berkeluarga dengan bilangan ahli ramai, memang berbaloi untuk menyewa van ini selama 2 jam untuk bersiar-siar. Manakala bagi yang datang berdua/bertiga sahaja, bagus lagi anda sewa motor/kereta kerana anda tidak terikat dengan masa untuk pergi ke mana-mana yang anda suka. 


SEWA MOTOR

Perkhidmatan sewa motor/kereta boleh di dapati di mana-mana sahaja sekitar Pulau Pangkor ini. Tetapi, perkhidmatan sewa motor/kereta di Jeti Pangkor jauh lebih murah daripada harga di pekan serta banyak pilihan. Walaubagaimanapun, anda dinasihatkan supaya survey dahulu harga sewaan tersebut serta keadaannya sebelum menyewa. 

Kali ini, kami cuba untuk menyewa sebuah motor daripada tempat penginapan kami & ternyata keadaan motor ini tidak lah berapa baik.  

RM35 per hari
(Petrol lebih kurang dalam RM5 sudah mencukupi)



Untuk pengetahuan anda, jalan di Pulau Pangkor ini sedikit mencabar bagi sesiapa yang tidak biasa bermotosikal kerana jalan nya berbukit tinggi sehingga 10% cerun, jalan sempit serta berbentuk 'S'. Dengan ini, sila pastikan betul-betul motor yang anda sewa itu berkeadaan baik dan selamat untuk di gunakan. Jangan sampai anda terpaksa untuk menolak motor anda di laluan berbukit itu. 


Terdapat juga perkhidmatan kereta sewa. Tempat penginapan kami menawarkan perkhidmatan kereta sewa (manual) lebih kurang RM70 per hari. Memandangkan jalannya yang sempit, saya tidak sarankan untuk menyewa kereta melainkan ahli keluarga yang ramai. 

Harga sewaan yang kami terima pada masa itu:
Kereta Saga Aeroback (Manual) – RM70 /hari
Motor Modenas Kriss/EX5 – RM25-30 /hari
Motor Scooter (siri lama) – RM30-40 /hari


PURNAMA BEACH RESORT


Kami menginap di Purnama Beach Resort, Teluk Nipah. Terdapat banyak jenis unit bilik yang tersedia mengikut bilangan ahli rombongan anda. Bilik yang kami menginap ini tidak mempunyai peti sejuk tetapi mempunyai mandian panas, alhamdulillah. 

Resort ini kami jumpa di dalam Trivago, memandangkan harganya yang murah serta mempunyai kolam renang. Walaupun terdapat serba sedikit komen negatif yang kami baca melalui Trivago ini tetapi pada kami, ianya masih berbaloi dengan harga yang ditetapkan. Suasana tempat ini sangat dekat dengan penduduk tempatan, jadi kemudahan semuanya tersedia. 





Di sini, terdapat kolam renang yang sesuai untuk kanak-kanak & tak lupa juga untuk dewasa. Tempat penginapan yang menarik juga lah untuk seisi keluarga. Tetapi dinasihatkan supaya anda bawa/beli ubat nyamuk/spray nyamuk kerana ini sangat diperlukan setiap waktu, walaupun di siang hari. 



BURUNG ENGGANG

Kami sampai di Pulau Pangkor hampir lewat petang juga, jadi selepas check in terus ke tempat pilihan pertama kami iaitu ‘feeding’ Burung Enggang.

Sebenarnya di Pulau Pangkor ini sememangnya terdapat banyak Burung Enggang. Boleh dikatakan burung biasa-biasa sahaja yang kita selalu nampak di tempat tinggal kita tetapi di Pulau Pangkor, boleh dikategorikan hampir 80% adalah Burung Enggang.

Kami dimaklumkan oleh pihak Purnama Beach Resort, terdapat sebuah port untuk memberi Burung Enggang makan yang berhampiran. Waktu makan Burung Enggang ini kebiasaannya pada jam 6.30 petang ke atas. Rasanya kami hanya jalan kaki dalam 50m sahaja untuk sampai ke tempat itu. 


Ini ialah tuan empunya tempat penginapan Sunset View Chalet yang turut merupakan tuan pemberi makan kepada Burung-burung Enggang ini. Setiap hari beliau akan menghabiskan hampir 3kg pisang untuk diberikan kepada Burung-burung Enggang ini & atas tanggungan beliau sendiri. Bagi beliau, ini merupakan rutin harian beliau di sini & beliau sangat mesra serta dapat dilihat seperti penternak Burung Enggang ini. Sememangnya tempat ini telah pun menjadi tarikan pelancong sekiranya berkunjung ke Pulau Pangkor. 

Rakaman video semasa memberi makan Burung Enggang..


Jangan risau, cara-cara untuk memberi makan Burung Enggang akan di terangkan oleh pakcik ini. Maka, ini adalah di antara pengalaman kami semasa memberi makan Burung Enggang.


MAKAN MALAM

Pihak Purnama Beach Resort turut mempunyai restoran tersendiri tetapi kami ingin untuk cuba di restoran-restoran seafood luar sepanjang Teluk Nipah ini. 

Memandangkan kami sampai di sini pada hari bekerja (di antara Isnin – Jumaat), ada sedikit susah untuk mencari tempat makan yang sedap kerana kebanyakkan restoran serta kedai-kedai di sini hanya buka pada hari Sabtu dan Ahad sahaja. 

Walaubagaimanapun, hasil pencarian kami pada malam ini menjumpai restoran ini yang sememangnya berbaloi bagi kami.


*RESTORAN RASA SAYANG TELUK NIPAH

Ini dia restoran yang kami maksudkan. Terletak betul-betul di tepi pantai, berhadapan dengan Pasar Mini (warna kuning) dan berhampiran juga dengan gerai-gerai kecil tepi jalan. Sememangnya kawasan ini merupakan tempat makan tumpuan Teluk Nipah tetapi restoran ini yang telah memikat citarasa kami sekeluarga. 




Terdapat pelbagai hidangan laut yang segar dan masakan mengikut citarasa anda. Yang paling penting ialah harganya sangat berpatutan.

Anggaran kos makan malam kami di restoran ini:


Ikan Ayam (besar) seekor + Udang masak sambal manis (1 piring) + Tomyam seafood (1 mangkuk) + 1 pinggan nasi putih + Air kelapa + Air milo ais + Air Lai Ci Kang (suam)
= RM 65.00

Ikan Garu (sedang) seekor + Udang masak sambal manis (1 piring) + Sayur kangkung goreng belacan + 1 pinggan nasi putih + Air milo ais + Air Lai Ci Kang (suam)
= RM 60.00

Terdapat juga gerai Char Kuew Teow bersebelaham dengan restoran ini yang anda boleh cuba kerana kami tidak berkesempatan untuk mencubanya, memandangkan gerai tersebut turut ramai orang. 


*Pesanan daripada orang-orang di tempatan sendiri semasa kami di Jeti Lumut, tanya dahulu harganya sebelum anda membuat keputusan untuk makan di sesebuah kedai itu bagi mengelakkan sebarang penipuan harga.

Sekiranya anda ingin mencuba di restoran yang lain, kami cadangkan anda ke Abei Restoran (tepi pantai) di kawasan Pasir Bagok kerana harga seafood di sana sedikit murah dalam RM2-3 daripada di Teluk Nipah ini. Tetapi semasa kami di sana, tidak banyak seafood yang ada pada masa itu, yang ada hanya lah ikan-ikan biasa seperti Siakap dan Janahak sahaja, ketam dan udang juga tidak ada.


SARAPAN PAGI

Sekiranya anda datang pada hari bekerja (Isnin-Jumaat), disarankan anda mengambil sarapan daripada pihak penginapan sahaja kerana sememangnya susah untuk mencari kedai makan sarapan pagi pada hari-hari bekerja.

Memandangkan penginapan kami tidak termasuk dengan sarapan pagi, maka kami berjalan keluar untuk mencari sarapan pagi. Jangkaan kami meleset kerana hanya 1-2 kedai sahaja yang buka pada pagi itu dan hidangannya hanya lah Nasi Lemak serta roti bakar.

Kami mencuba makan sarapan pagi di sebuah restoran (tepi pantai) untuk 2 pinggang nasi lemak, telur 3 biji, sambal ikan dan ayam goreng seketul, air milo 2 cawan dan air teh secawan, harganya mencecah hampir RM25 kesemuanya.

Ini kedainya....



Pada hari Sabtu pula, terdapat beberapa kedai makan sarapan pagi yang buka dan anda boleh sahaja pilih mengikut citarasa masing-masing. Kami pula mencuba untuk makan di gerai roti canai, satu-satunya gerai yang ada menjual roti canai di Teluk Nipah ini. 


Gerai ini mempunyai hidangan roti canai, nasi lemak bungkus serta kuih muih. Ini adalah anggaran harga-harga makanan di kedai tersebut pada masa itu:

Roti kosong RM1 sekeping
Roti Sardin RM3/4 sekeping
Kuih-kuih 50sen sebiji
Nasi Lemak bungkus daun pisang RM2 sebungkus


MAKAN TENGAHARI

Untuk makan tengahari, kami cuba untuk ke pekan yang berdekatan dengan Pasir Bagok. Di situ terdapat banyak kedai makan dan ini kedai makan pilihan kami. Sememangnya banyak pilihan dan sangat murah. 


Kedai makan ini terletak di lorong-lorong pedalaman yang berdekatan dengan sebuah masjid. Makan tengahari kami di sini lebih kurang dalam RM21 (minuman jus buah-buahan) untuk kami sekeluarga. 



LAKSA GORENG SEDAP

Atau mungkin anda ingin mencuba laksa goreng yang sangat popular di sini. Kedai ini terletak berhampiran dengan Jeti Sungai Pinang Kecil. Kedai ini berlatar belakang kan laut serta jeti nelayan tempatan.


Jangan tidak percaya kedai ini mendapat pengiktirafan Laksa Goreng terbaik. 



Sememangnya tidak di nafikan Laksa Goreng sedap sangat. Di sini juga terdapat laksam yang juga merupakan kesukaan saya dan ianya sangat sedap sampaikan kami bungkus untuk bawa makan di rumah. Harganya tidak perlu risau, memang teramatlah murah dan diluar jangkaan kami. Kalau tak silap saya semua RM2 sepinggan dan kalau ada telur harganya RM2.50 sepinggan. Murah kan???

Inilah Laksa Goreng Sedap..



Laksam sedap..



IKAN BILIS MURAH DAN IKAN KERING MURAH

Kalau ke Pulau Pangkor sahaja, mesti orang akan suruh beli ikan bilis di sini kerana harga nya murah. 

*HASIL LAUT PAK SU PULAU PANGKOR

Sepanjang peninjauan kami, kami sangat berpuas hati membeli di sini, Hasil Laut Pak Su Pulau Pangkor. Halal & bersih. Kedai ini terletak berdekatan dengan masjid di Pasir Bagok kalau tak silap saya kerana tuan kedai ini merupakan salah seorang jawatankuasa masjid di situ. 


Baju putih itulah tuan kedai. Sedang memberikan contoh ikan bilis yang telah siap di goreng buat pelanggan. Beliau boleh mencadangkan ikan bilis yang mana yang mengikut cita rasa anda. Beliau sendiri juga sangat prihatin dengan kebersihan pengeluar-pengeluar ikan bilis ini dan beliau juga melihat sendiri tempat pengeluar ikan bilis ini untuk memastikan ianya betul-betul bersih. 

Ikan masin pula, beliau sendiri yang mengeluarkannya. Maka, tidak ada was-was lagi. 




*HASIL LAUT HAI YANG

Anda juga boleh membeli di sini bagi barangan di dalam paket. Harga di sini pun sangat berpatutan berbanding dengan kilang pengeluar terkenal yang disebut-sebut oleh orang tempatan (kilang itu akan saya ceritakan seterusnya). 

Kedai ini berhampiran juga dengan kedai Hasil Laut Pak Su tadi. Semuanya mesti masuk ke lorong-lorong pedalaman. 



*KILANG SATAY IKAN HAI SENG HIN (tidak di galakkan)

Sekiranya anda mengambil pakej melalui agensi pelancongan atau pun melalui teksi van merah jambu itu, berkemungkinan mereka akan membawa anda untuk membeli-belah di Kilang ini. Ini adalah kerana mereka diberikan sedikit komisyen untuk setiap pelawat yang mereka bawa ke sini. 

Kilang ini ternyata sangat popular di sini dan merupakan pengeluar terbesar di Pulau ini. Akan tetapi, anda mungkin akan tertipu dengan harga yang ditawarkan. Harga di sini lebih mahal berbanding harga yang ditawarkan di pekan walaupun mereka adalah pengeluarnya. Boleh di katakan, sebahagian harga di sini adalah 2 kali ganda harga yang anda boleh dapatkan di pekan. 


Pada orang muslim pula, saya ada sedikit was-was akan sijil halal yang mereka paparkan. Dengan hanya menggunakan kaki tangan muslim, tetapi belum tentu halal nya boleh diterima pakai. Ok, lupakan isu Halal ini. Sekiranya anda rasa was-was, ada kedai orang islam yang buat sendiri dan jual dengan harga yang lebih murah di tempat lain. 




Rasanya itu sahaja kisah kami di Pulau Pangkor untuk kali ini. Masa untuk pulang...sampai berjumpa lagi di siri yang akan datang.  


Gambar sibuk nak buat susu anak hehe..daa..