Bandar Beijing
China
14 - 19 Dis 2014
Selepas habis menjelajah perkampungan Badaling, misi seterusnya ialah Bandar Beijing. Kami menaiki keretapi daripada Badaling ke Stesen Keretapi Utara Beijing (Xi Zhi Men) dengan hanya 6 yuan seorang termasuklah kanak-kanak. Perjalanan mengambil masa selama lebih kurang 45 minit.
Sesampai sahaja di stesen keretapi Utara Beijing, kelihatan orang ramai masuk ke kawasan landasan berlari untuk menaiki keretapi kami. Ini kerana tiket keretapi ini tidak mempunyai nombor tempat duduk, maka terpaksalah anda berebut untuk mendapatkan tempat duduk, kalau tidak berdirilah sepanjang perjalanan itu nanti.
Kemudian, kami menaiki subway line 10, turun di stesen Jiandemen (Keluar pintu C) untuk daftar masuk di tempat penginapan kami kali ini di Lovely Home Boutique Apartment (Yayuncun) yang kami tempah melalui Booking.com atau anda juga boleh melayari sesawang mereka iaitu www.ttwu.net. Tempat penginapan kami ini terletak di bahagian atas pusat membeli-belah, Carefour. Kami menginap selama 4 malam di sini dengan harga 388 yuan semalam.
Boleh di kategorikan sebagai murah sekiranya anda datang berkeluarga. Turut disediakan TV dengan pelbagai siaran yang boleh anda tontot, mesin basuh, air pancur panas, oven, peti sejuk, dapur pemanas sekiranya anda ingin memasak yang mudah-mudah. Tetapi bagi umat Islam, rasanya tidak perlulah untuk memasak di sini melainkan sekiranya anda mempunyai perkakas dapur anda sendiri. Anda paham lah kan maksud saya hehehe...
Inilah dia bilik kami....
Berdekatan dengan tempat penginapan kami di Beijing, terdapat sebuah restoran Halal yang memudahkan kami untuk mengisi perut hehehe... Makanan nya sedap dan harga pun berpatutan, sebuah hidangannya sudah memadai untuk mengenyangkan 2-3 orang makan. Sangat jimat.
Ini adalah daging goreng (32 yuan), tahu sup pedas (ala ala kuah mee bandung) dan nasi goreng kicap ini dalam 18 yuan rasanya (ala ala nasi goreng cina juga lah).
Ini adalah telur goreng tomato dan sayur kangkung goreng kacang (15 yuan)....memang sedap...pilihan utama saya di sini...hehehe...
Ini kalau tak silap saya adalah Ayam Kungfu Pao (Kecil = 52 yuan), mee goreng daging ( (jenis mee memang berbeza sikit) dan nasi putih (2 yuan).
Ini juga mee goreng tetapi jenis mee lain dan sup daging (12 yuan).
Ini pula ayam goreng bawang, ayam goreng kicap dan telur masak tomato....sedap...
Di bandar Beijing ini, sangat mudah untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat dengan menggunakan Subway.
Inilah laluan subway yang terdapat di dalam bandar ini. Yang menariknya ialah ke mana sahaja anda pergi dengan menaiki subway ini harganya tetap 2 yuan sehala, percuma untuk kanak-kanak di bawah ketinggian 120cm. Jadi, pastikan laluan anda sebelum hendak menaiki subway ini kerana subway ini terdapat banyak laluan.
Peta subway Beijing boleh di dapati di sini.
Tian'an Men Square & Forbidden City
Tempat pertama yang kami lawati ialah Tian'an Men Square. Dengan menaiki subway line 2, turun di stesen Tian'an Men East.
Oleh kerana keadaan cuaca yang sangat sejuk, membuatkan kami susah untuk bergerak dan rasa seperti hendak cepat balik ke tempat penginapan.
Tetapi kami masih sempat untuk mengambil gambar menarik bangunan binaan seni Cina ini dan tiada sebarang bayaran untuk masuk ke Tian'an Men Square.
Suasana di sebalik bangunan Tian'an Men.
Seperti macam dalam cerita 'Karate Kid', sentuh bonggol emas di pintu besar ini untuk tuah hahaha...
kepercayaan orang-orang zaman dahulu...hehehe...
Untuk masuk ke Forbidden City, anda perlu masuk melalui Tian'an Men Square ini. Tetapi malangnya kami tidak dapat memasuki Forbidden City hari ini kerana tutup (Isnin). Untuk masuk ke dalam Forbidden City, bayaran dikenakan ialah lebih kurang dalam 40 yuan seorang.
Kemudian, kami berjalan ke bahagian belakang Forbindden City. Terdapat sebuah tasik yang hampir beku airnya pada masa ini disebabkan cuaca yang begitu sejuk. Daripada sini, anda boleh jalan kaki sahaja untuk ke Wang Fujing Street.
Oleh kerana cuaca yang begitu sejuk, kami menaiki taxi ala ala macam kereta golf dengan hanya 2 yuan seorang, percuma untuk kanak-kanak lingkungan 3 tahun ke bawah. Kereta ini hanya membawa anda separuh jalan ke jalan belakang. Kemudian, anda kena jalan kaki untuk ke Wang Fujing Street.
Sepanjang perjalanan di sini, terdapat pelbagai kedai cenderahati, kedai baju, kasut dan sebagainya. Sekiranya anda ingin mengalas perut, restoran halal pun ada di sepanjang jalan ini.
Wang Fujing Street
Inilah dia Wang Fujing Street yang dikatakan tempat membeli-belah yang terkenal. Tetapi pada saya, ianya lebih kurang seperti membeli-belah di pusat membeli-belah di Malaysia juga kerana kebanyakkannya kedai barang berjenama yang terdapat di sini dan harganya juga lebih kurang di negara sendiri. Jadi, tidak berbaloi rasanya untuk membeli-belah di sini.
Terdapat juga sebuah pusat membeli-belah barangan kanak-kanak. Memang banyak barang permainan, pakaian, kasut dan lain-lain jual di sini. Tetapi, harganya sememangnya tidak berbaloi untuk beli di sini.
Di sini ada sebuah restoran Muslim, berhadapan dengan Bookstore, tetapi bila masuk ke dalam restoran itu, kami ada rasa sedikit kurang selasa kerana sememangnya ramai dengan orang tempatan dan berbau alkohol. Terdapat hidangan minuman alkohol di sini dan harganya juga sangat tinggi untuk sesebuah hidangan. Sekiranya anda mempunyai bajet yang lebih, mungkin boleh mencuba di restoran ini.
*Imej daripada laman Google
Pada pandangan saya sendiri, saya tidak begitu selesa dengan restoran ini berbanding dengan restoran halal yang lain. Lain orang, lain pendapat. Mungkin pengalaman anda berbeza, manalah tahu...hehehe...
Kemudian, nak balik boleh naik subway daripada stesen Wang Fujing, line 2.
798 Art Zone
Tempat seterusnya ialah 798 Art Zone. Dengan menaiki subway line 10, turun di stesen Sanyuanqiao. Kemudian jalan sedikit ke perhentian bas Sanyuanqiao, naik bas nombor 401 dan turun di perhentian bas Dashanzi Lukou Nan. Tiket bas hanya 1 yuan seorang, kanak-kanak 3 tahun ke bawah rasanya free sahaja. Pesanan penting, sekiranya anda menggunakan perkhidmatan bas di sini, pastikan duit kecil disediakan cukup-cukup untuk membayar tambang bas kerana tiada sebarang duit baki akan dipulangkan.
Sesampai sahaja di perhentian bas Dashanzi Lukou Nan ini, anda perlu berjalan menyeberangi jalan besar kerana 798 Art Zone terletak di seberang jalan itu, sederet dengan MacDonald. Terdapat deretan kedai di sini yang saya rasa sesuai sekiranya anda ingin mencari kelainan kasut, baju dan sebagainya. Harganya juga amat murah dan berpatutan. Cuma anda larat atau tidak untuk bawa barang naik bas hehehe... Kelainan barangan di sini sememangnya tidak dapat dijumpai di tempat lain yang saya pergi, jadi memang menyesal rasa tidak beli sebenarnya.
Inilah dia 798 Art Zone. Mengikut bunting yang digantung, sepatutnya ketika itu mereka sedang mengadakan festival seni di dalam kawasan ini. Tetapi malangnya, saya tidak nampak sebarang bentuk festival pun di adakan di situ. Malah, tempat ini seolah-olah seperti mati.
Dah sampai pun, jadi kami ambil gambar sahaja lah dan pulang.
Yashow Market
Seterusnya, kami ke Yashow Market iaitu tempat yang terkenal dengan pusat membeli-belah secara borong di Beijing ini. Dengan menggunakan subway line 10, turun di stesen Tuanjiehu (Keluar pintu A). Anda boleh jalan kaki untuk ke pasaraya tersebut atau pun naik teksi motor yang setia menunggu di tepi-tepi jalan. Tambang adalah 10 yuan sehala.
Tips ketika membeli-belah di tempat ini:
1) Pastikan anda betul-betul hendak beli barangan tersebut barulah bertanyakan harga dan mula untuk tawar-menawar.
2) Pastikan anda tawar 50-80% kurang daripada harga yang dibuka. Anda akan mendengar pelbagai bunyi bebelan apabila anda meminta harga yang rendah. Usah kesahkan mereka kerana memang itu cara mereka berniaga di sini. Sekiranya mereka tidak bagi harga yang anda pinta itu, anda beredarlah daripada situ kerana mereka akan memanggil anda semula dan tawar sehinggalah anda beli.
3) Seeloknya, berlalu terus daripada tempat tersebut selepas anda beli atau tidak mahu beli kerana setiap penjual di sini akan menarik anda sehingga anda beli.
3) Pastikan barangan yang hendak dibeli itu betul kuantitinya, saiz nya dan sebagainya.
*Kerana ini yang berlaku pada kami.
Seorang perempuan cina menjual baju gambar cetakan Tembok Besar Cina dan Beijing dengan harga 100 yuan untuk 7 helai. Sememangnya saya tengok tak banyak yang tinggal dan mungkin dia hendak menghabiskan stok yang ada.
Bapa saya ingin membelinya untuk sedara-mara dan apabila saya buka melihat saiz setiap baju itu, sudah semestinya saiz bentuk baju orang China jauh beza dengan bentuk baju orang Malaysia. Jadi, bapa saya minta saiz paling besar untuk kesemua 7 helai itu, XL-XXXL. Saya pun mula untuk mengira memandangkan bapa saya rabun dan tidak pakai cermin mata ketika itu.
Sambil saya kira dan pastikan saiz yang betul iaitu saiz XL, perempuan cina ini mengeluarkan sebahagian baju saiz L. Dia berkeras mengatakan saiz L dan XL tak ada beza, sama sahaja. Saya siap ukur secara fizikal dan sememangnya tidak sama. Saya turut berkeras hendak baju saiz XL juga.
Kemudian, dia kata ingin membawa baju saiz L itu ke kedai lain tukar. Ada dalam 3-4 helai kalau tak silap saya. Kami pun tunggu di situ sementara dia pergi untuk tukar baju-baju tersebut. Apabila dia datang semula dengan baju itu semua, saya tengok saiz baju di bahagian colar itu bertandakan XL dengan menggunakan pen marker hitam. Saya tengok semula baju, semua itu adalah baju yang sama dia bawa sebentar tadi dan dia hanya pergi ke tempat lain untuk menandakan saiz baju tersebut dengan menggunakan marker???? Anda cuba bayangkan, betapa kita diperbodohkan macam itu sahaja.
Saya mula naik marah dan memang saya cakap saya tak nak baju bertanda dengan marker itu. Perempuan cina itu mula naik angin juga. Pada saya "barang kau, duit aku". Jadi, kita nak beli sememangnya kita kena pastikan barang tersebut betul dan kita puas hati.
Dengan nada marah, dia pergi menggantikannya dengan baju 'display' yang bersaiz XL. Sambil dia mengambil baju tersebut, saya terdengar dia membebel kata 'Bodoh punye perempuan' dalam bahasa cina. Hah silap besar lah jawabnya kerana saya paham dan saya tahu dia tujukan itu kepada saya. Apa lagi, saya pun beranglah dan balas semula kata-kata dia dalam bahasa cina. Jelas nampak air muka dia berubah, tetapi dia masih tidak mahu kalah.
Saya: Hey, kalau nak cakap tu, jangan sebarangan cakap. Kau ingat aku tak paham apa kau cakap. Sesuka hati sahaja hendak kata aku bodoh??!!!
Penjual: Hah boleh pun cakap bahasa cina. Kalau paham pun, apa masalahnya. Kau yang hendak beli barang murah....bla bla bla....
Masa itulah, saya hampir-hampir hilang sabar tetapi mengenangkan bapa saya hendak beli baju itu dalam kuantiti yang banyak, saya cuba juga untuk bersabar. Memang barang yang dijualnya murah tetapi sekiranya dia menjual dengan cara menipu, sama sahaja kalau kita beli di kedai lain, mahal sedikit tetapi kita berpuas hati dengan apa yang kita beli, betul tak? Kerana saya lihat penjual baju di gerai lain pun tak jauh beza harganya dan mungkin boleh tawar sampai harga seperti perempuan cina ini jual kalau ambil dalam kuantiti yang banyak, tak mustahil saya rasa.
Selepas itu, dia langsung tak pandang muka saya dan tidak bercakap dengan saya, dia hanya berurusan dengan bapa saya sahaja. Saya berdiri di belakang dia, sudah cukup rasa ringan tangan nak naik ke kepalanya tetapi adik saya yang cuba untuk sabarkan saya.
Mungkin dia ingat, dia boleh memperdayakan bapa saya yang tidak paham apa yang dia cakap. Tetapi saya yang menjadi mata kedua untuk bapa saya. Lepas beli, kami terus pergi daripada tempat itu dan tidak sesekali melalui tempat itu lagi.
Jadi berhati-hatilah apabila anda membeli-belah di situ. Lagi satu, mereka di sini sememangnya ada yang tahu berbahasa melayu tetapi tidaklah begitu fasih. Jangan mudah terpedaya dengan taktik mereka ini.
Apabila hendak membeli-belah di sini. Saya saran supaya pergi daripada waktu pagi kerana anda mungkin memerlukan lebih banyak masa untuk ronda habis di tempat ini. Berkemungkinan juga seharian anda akan berada di sini kerana pusat ini mempunyai beberapa tingkat dan setiap tingkat sememangnya luas, penuh dengan kedai jualan seperti pusat pameran.
Beijing Zoo
Hari ini, kami ke Beijing Zoo hanya semata-mata hendak melihat beruang panda. Kami menaiki subway line 4, turun di stesen Beijing Zoo (Keluar pintu A - Northwest).
Tiket masuk ke zoo ini ialah 15 yuan seorang dan kanak-kanak di bawah umur 3 tahun ke bawah percuma.
Beruang panda di dalam sangkar. Sememangnya tiada pengunjung pun yang di benarkan untuk sentuh beruang panda ini atau mengambil gambar sambil memeluk beruang panda ini. Beruang panda ini semua memang diletakkan di dalam sangkar.
Zoo ini memang luas dan kami tidak lah masuk untuk melihat kesemua binatang-binatang, melainkan mana yang kami lalui sahaja.
Terdapat sebuah tasik yang sudah pun beku berikutan cuaca yang sangat sejuk. Berani tak agak-agak nak berdiri di atas tasik beku ini hahahaha....
Daripada zoo ini sepatutnya boleh menaiki feri untuk ke Summer Palace. Tetapi memandangkan kami datang pada musin sejuk ini, rasanya sungai pun sudah membeku dan tiada perkhidmatan feri di tutup pada musim ini.
Dengan cara lain, anda boleh ke Summer Palace dengan menaiki subway line 4, turun di stesen Beigongmen (Keluar pintu North). Kami tidak berkesempatan untuk ke Summer Palace kerana cuaca yang amat sejuk, memaksa kami untuk terus pulang ke apartment kami.
Stadium Nasional Beijing
Semasa perjalanan pulang daripada Zoo Beijing. Saya dan adik saya tekad untuk singgah di Stadium Nasional Beijing yang turut dikenali sebagai 'Bird's Nest'. Mak dan bapa saya terus pulang ke apartment kami kerana tidak tahan dengan kesejukan cuaca pada masa itu.
Kami menaiki subway line 8 dan turun di stesen Olympic Sports Center. Anda boleh keluar melalui pintu B1 (Northwest) atau B2 (Northeast) sebelum jam 5.30 malam dan waktu selepas itu, anda mungkin perlu menaiki teksi untuk ke sana. Stadium itu tidak boleh di akses dengan berjalan kaki selepas jam 5.30 petang itu kerana ianya dipisahkan oleh jalan raya besar. Untuk masuk ke dalam stadium tersebut juga dikenakan bayaran lebih kurang 50 yuan seorang, kalau tak silap saya.
Teksi motor menawarkan sebanyak 10 yuan untuk menghantar kami ke stadium tersebut. Tetapi memandangkan kami hanya sekadar untuk melihat sendiri stadium tersebut dan mengambil gambar, maka kami hanya mengambil gambar di tepi jalan sahaja.
Inilah hasilnya =)
Temple of Heaven
Ini salah satu tempat yang saya telah senaraikan sebelum kami berangkat ke China tetapi tidak dapat nak dikunjungi kerana cuaca yang tidak mengizinkan.
Saya hanya berkongsi di sini cara untuk ke sana, dengan menaiki subway line 5, turun di stesen Tiantandingmen (keluar pintu A - east). Tidak pasti pula sekiranya terdapat bayaran untuk masuk ke situ.
Tempat ini mempunyai taman yang cantik dan sesuai untuk riadah serta tempat sekeluarga. Jika anda ke China, jangan lupa untuk cuba mengunjungi tempat ini ya..
*Gambar daripada laman Google.
Rasanya ini sahaja untuk kali ini lawatan kami ke Beijing, China. Harap ia nya membantu serba sedikit perjalanan anda ke sana. Insyallah =)
Salam. Hee seronok ke china.
ReplyDelete