Bahasa | English
Tembok Besar China & Snow World Resort
Badaling
10 - 14 Dis 2014
Kali ini, siri jelajah saya adalah negara China di Musim sejuk. Perjalanan utama kali ini adalah untuk ke Tembok Besar Cina iaitu 'The Great Wall of China'.
Untuk pengetahuan anda, Tembok Besar Cina ini mempunyai banyak laluan masuk dan kami memilih laluan masuk di Badaling kali ini.
Penerbangan kami dengan Xiamen Airlines, juga merupakan salah sebuah syarikat penerbangan di China. Penerbangan kami transit di Fu Zhou dan mendarat di Tianjin. Daripada Tianjin, kami menaiki kereta api berkelajuan tinggi ke Stesen Keretapi Beijing Selatan.
KLIA ---> 4 jam 30 minit ---> Fu Zhou ---> 2 jam 15 minit ---> Tianjin Binhai
Apabila menggunakan syarikat penerbangan luar negara seperti China ini, jangan lupa untuk membuat pesanan makanan halal di dalam pesawat. Setelah menempah tiket penerbangan, kami menghubungi pejabat Xiamen Airlines di Malaysia untuk meletakkan nota atau pesanan makan halal di dalam penerbangan.
Sampai sahaja di Tianjin Binhai International Airport, dengan cuaca -6 darjah, kami menaiki teksi ke Stesen Keretapi Tianjin. Tambang teksi sepatutnya hanya 50 yuan tetapi kami terkena 100 yuan, dalam 20 minit perjalanan. Sila pastikan anda sudah membuat pencarian sendiri tentang segalanya terutama sekali apabila melibatkan duit. Selain itu, anda juga boleh menggunakan keretapi 'Subway' dari Lapangan Terbang Antarabangsa Tianjin ke Stesen Keretapi Tianjin yang memakan masa sekitar 40 minit.
Di China terdapat pelbagai jenis kereta api dengan pelbagai kelajuan dan sememangnya mudah untuk bergerak dari suatu tempat ke suatu tempat. Dari Tianjin ke Beijing South ini, kami menaiki kereta api berkelajuan ketiga tertinggi (kereta api bermula dengan huruf C).
Tianjin Railway Station - Beijing South Railway Station (sekitar 1 jam perjalanan)
Dewasa - 54.50 yuan
Kanak-kanak - 27 yuan
Bagi sesiapa yang menggunakan agensi pelancongan, mereka tidak akan menyarankan anda untuk menginap di kawasan Tembok Besar Cina kerana kawasan tersebut merupakan kawasan pedalaman dan tidak mempunyai kedai makan halal bagi pelancong muslim.
Memandangkan kami akan menginap di kawasan tersebut selama 3 malam, maka sememangnya bekalan makanan segera yang secukupnya amatlah diperlukan.
Kami singgah makan dahulu di sebuah restoran halal di dalam Stesen Keretapi Beijing Selatan sebelum memulakan perjalanan ke Tembok Besar Cina, Badaling.
Memandangkan jelajah kami kali ini adalah seperti pengembara berkeluarga dan tidak melalui agensi pelancongan. Di sini bermula la insiden penipuan kami yang pertama. Sebuah agensi pelancongan tempatan yang sememangnya akan berkeliaran di stesen ini untuk mempromosikan lawatan ke Tembok Besar Cina.
Anggaran harga untuk ke Badaling yang kami dapat semasa di stesen ini:
1) Keretapi - 6 yuan untuk dewasa & kanak-kanak (perjalanan sekitar 40 minit, hanya dalam 2-3 stesen sahaja)
2) Teksi tempatan - 600+ yuan (tidak termasuk tambang tol dan perjalanan sekitar 2 jam)
3) Kereta Sewa / Agensi Pelancongan - 600 yuan (tidak termasuk tambang tol dan minyak)
*Kisah kami ditipu
Agensi tempatan ini mengatakan bahawa tempat penginapan kami di sana terlalu jauh masuk ke pedalaman dan caj yang akan dikenakan amat tinggi. Mereka seboleh-boleh hendak kami tinggal di bandar Beijing dan hanya ke Tembok Besar Cina untuk sehari sahaja sudah memadai. Oleh kerana kami telah pun membuat tempahan melalui booking.com, kami tetap jugak hendak ke sana.
Agensi ini meletakkan harga permulaan iaitu 2000+ yuan yang ternyata seperti sememangnya tidak masuk akal. Bapa saya tetapkan paling tinggi kami akan bayar ialah 500 yuan sahaja. Hampir setengah jam kami berunding, barulah mereka setuju (itu pun bila bapa saya dah mula tawar hati untuk berunding dengan mereka).
Tetapi malangnya, ketika dalam perjalanan, pemandu tersebut memberitahu bahawa tambang tol jalan pergi dan balik perlu di bayar oleh penumpang dan bapa saya setuju. Setiba sahaja di tempat penginapan kami, pemandu tersebut meminta kami membayar duit minyak untuk beliau balik semula ke bandar Beijing dan kali ini, bapa saya sudah mula naik angin kerana tambahan bayaran seperti ini sepatutnya dijelaskan kepada penumpang pada awal rundingan lagi. Kami terpaksa bayar 80 yuan tambahan untuk duit minyak pemandu itu pulang semula ke Bandar Beijing.
Yang paling kami terkejut sekali apabila tiba di tempat penginapan kami, tempat ini hanya bersebelahan dengan Stesen Keretapi Badaling ;(
3 Malam di Great Wall Courtyard Hostel, Badaling
Sejuk hati kami apabila tuan rumah menyambut kami dengan baik sekali dan ternyata layanan yang diberikan juga memang bagus. Tuan rumah boleh berbahasa Inggeris serba sedikit. Walaupun mereka tidak boleh berbahasa Inggeris tetapi mereka ada inisiatif untuk membantu.
Bergambar dengan Tuan Rumah...
Sebuah homestay yang menarik untuk di inap kerana dekorasinya sudah menunjukkan ianya sebuah rumah ala-ala penduduk cina zaman dahulu. Sesungguhnya homestay ini amatlah selesa dan strategik.
Tuan rumah yang begitu ceria dan baik hati....
Gym turut disediakan di sini ;)
Di luar homestay. Dari sini kami boleh nampak Tembok Besar Cina itu...
Tembok Besar Cina, Badaling
Homestay kami berada bersebelahan dengan landasan keretapi dan perlu menyeberangi landasan keretapi ini untuk menuju ke Tembok Besar Cina.
Sampai sahaja di kawasan Tembok Besar China itu, ternampak pula seekor UNTA. Wah apa lagi, kami pun tak lepaskan peluang ini untuk bergambar dengan unta ini. Jangan terkejut bila kena bayar untuk bergambar dengan unta ini ya. Harga seeorang 10 yuan siap duduk di atas unta tetapi kami runding sampai 30 yuan untuk gambar macam ini. hehehe =)
Memandangkan Tembok Besar Cina ini tersangat lah tinggi, kami pun menaiki Cable Car ke atas hehehe...
Harga tiket Tembok Besar China dan Cable Car
Cable Car sehala - 80 yuan
Cable Car dua hala - 100 yuan
Tiket masuk Tembok Besar Cina - 35 yuan
Insuran di Tembok Besar Cina - 5 yuan
*Kanak-kanak di bawah ketinggian 120cm - Tidak dikenakan bayaran
Ya, akhirnya...kami sampai juga di puncak Tembok Besar Cina hehehe...tetapi kami pilih untuk turun melalui laluan yang tersedia yang mengambil masa sekitar 1 jam ke 2 jam. Terdapat juga kereta gelongsor di sediakan untuk turun ke bawah tetapi kami tak naik kereta itu. Anda cuba la...hehe...
Tunggu apa lagi, mari kita jelajah Tembok Besar China. Ini akan menguji ketahanan diri serta stamina apabila anda perlu turun naik laluan Tembok Besar China ini untuk turun ke bawah. Elakkan memakai kasut yang mempunyai tapak licin kerana sebahagian laluannya adalah bertangga dan juga jalan rata.
Tunggu apa lagi, mari kita jelajah Tembok Besar China. Ini akan menguji ketahanan diri serta stamina apabila anda perlu turun naik laluan Tembok Besar China ini untuk turun ke bawah. Elakkan memakai kasut yang mempunyai tapak licin kerana sebahagian laluannya adalah bertangga dan juga jalan rata.
Inilah dia laluan turun ke bawah dengan menggunakan kereta gelongsor. Menarik tapi harganya boleh tahan tinggi dan tidak seperti berbaloi hanya ingin turun ke bawah dengan cepat. Tetapi sekiranya anda ingin mencuba, apa salah nya hehehe...
Itulah dia laluan kereta gelongsor yang berbumbung biru...
Apabila turun daripada Tembok Besar China ini, terdapat beberapa buah restoran, kedai cenderahati, kedai pakaian-pakaian dan kasut. Apabila hendak beli, sila lah tawar harga tu 50%-80% daripada harga yang dibuka kerana sememangnya itu caranya apabila anda ingin membeli-belah di China.
Sebagai contoh kasut baldu berbulu yang emak saya beli daripada harga permulaan 800 yuan sehingga akhir sekali bapa saya tawar sehingga 100 yuan, dapat harga itu. Walaupun tawar menawar diwajibkan tetapi sila pastikan yang anda betul-betul hendak membeli barang yang ditawarkan itu. Peniaga itu akan maki hamun sekiranya anda tidak jadi beli selepas tawar-menawar.
Badaling Snow World Resort
Seterusnya, kami ke Snow World Resort untuk bermain salji. Untuk ke sini, anda perlu menaiki kereta & kami ke sini dengan jasa baik tuan homestay yang hendak hantar kami ke sini. Alhamdulillah, memang beliau seorang yang baik hati sebenarnya. Perjalanan dalam 10 minit sahaja daripada homestay kami ke sini, tetapi mustahil juga untuk berjalan kaki.
Sebenarnya waktu kami ke sini belum lagi turun salji tetapi salji ini dikatakan salji buatan yang sememangnya serupa seperti salji sebenar. Tak kisah lah, kami syukur sebab dapat juga merasa bermain salji hehehe... Tempat ini menjadi tumpuan untuk bermain ski. Waktu ini cuaca sejuk ialah 2 darjah.
Harga masuk (dewasa & kanak-kanak) - 20 yuan seorang
Harga peti simpan barang (locker) - 20 yuan satu peti
*Harga bermain ski berbeza mengikut jam - 4 jam, setengah hari & sehari) = 180 - 295 yuan seorang (termasuk peralatan ski)
Jom kita tinjau di dalam.....seronoknya rasa dapat bermain salji hahaha....
Mak saya yang sangat gembira sebab dapat juga dia merasa main salji dalam hidupnya...alhamdulillah...
Mari main gelongsor....hehehe...
Seronok tengok si kecil main gelongsor salji...
Tak kurang juga pada bapa saya hahaha...
Ini dia, hasil nukilan salji daripada kami hahaha...
Si kecil dengan ikan paus....
Bapa saya dengan karya muka...
Adik saya dengan 'Do you want to be build a snow man?' hahaha...
Selepas 2 jam penat bermain salji, kami kemudian di ambil semula oleh tuan homestay untuk pulang ke rumah dan esok kami akan bertolak ke Bandar Beijing pula.
Sepanjang di sini, kami juga 'survey' tentang harga tambang teksi dari Badaling ke Bandar Beijing:
Tuan homestay - 450 yuan sebuah kereta (termasuk minyak & tol)
Teksi tempatan - 400 yuan sebuah kereta (termasuk minyak & tol)
Keretapi - 6 yuan seorang
*Sentiasa pastikan tambang kenderaan yang ditetapkan sudah termasuk dengan minyak & tol bagi mengelakkan sebarang penipuan.
Jadi, anda boleh pilih mengikut bajet anda dan kami pilih untuk menaiki keretapi kerana lebih murah walaupun ada sedikit susah sebab membawa bagasi. Kami tidak kisah sebab inilah cabaran yang kami ingin cuba untuk tempuhi sekeluarga hehee...
Ok lah, akhir daripada kami untuk bahagian I ini...akan saya ceritakan lagi di bahagian II...Jumpa di Bandar Beijing =)
No comments:
Post a Comment